Testimoni

Sumber :  
ARKIB : 15/11/2010
Normala tidak buta lagi
Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@utusan>com.my
Gambar ZULKARNAIN SAIDIN


 


BENARLAH kata pepatah Melayu, berpantang maut sebelum ajal dan kerana berpegang pada itulah Normala Omar yang buta mata kirinya dan kabur mata kanannya pada Ogos lalu tidak pernah berputus asa berusaha. Meskipun doktor meramalkan peluang untuknya melihat amat tipis tetapi ibu kepada lima orang anak ini tidak mahu mengalah.

Sokongan padu daripada suami tercinta, aktor Zulkifli Zain, 64, dan anak-anak Norzizi, 34, Norzaza, 29, Norzazila, 27, Nozazleen, 24, dan Muhammad Noor Zabiq, 20, memberi semangat untuk Normala berusaha mendapatkan kembali penglihatannya.

“Sebenarnya bila cerita kak Ala buta keluar Mega pada 24 Ogos lalu bukan sahaja peminat terkejut malah keluarga di Kedah juga risau.

“Pada hari itu dan hari-hari berikutnya abang Joey (panggilan buat suami) banyak menerima panggilan daripada peminat yang mahu membantu.

“Semua itu amat kami hargai kerana rupa-rupanya dalam kesusahan ramai yang masih sayangkan kita. Namun syor seorang kawan agar Kak Ala (panggilan manja dirinya) cuba meminum jus buah-buahan yang diimport dari luar negara memberi kesan yang cukup bererti.

“Bayangkan setelah 12 botol kak Ala minum jus buah-buahan itu, mata kanan kak Ala yang kabur mula nampak dan sebelah kiri yang dulunya gelap kini mula nampak samar-samar,” cerita Normala Omar dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Normala, 53, mula hilang penglihatan pada pagi 13 April lalu setelah terjaga daripada tidur selepas dikejutkan oleh bunyi telefon bimbit untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Ujian kehilangan penglihatan Normala difahamkan berpunca daripada penyakit kencing manis yang dihidapi oleh aktres yang namanya pernah masyhur menerusi filem Sesejuk Air Mata Ibu sekitar tahun 1980-an. Bukan saja kencing manis, bahkan Normala juga pengidap darah tinggi sejak usianya mencecah 40 tahun.

Kesilapan dan kelalaian Normala mengabaikan pemakanan yang betul (biarpun mengetahui mengidap kencing manis) membuatkan artis yang cukup peramah itu terpaksa akur dengan nasib yang menimpanya hari ini. Normala yang mesra disapa Kak Ala mengakui, tidak pernah ambil berat mengenai kesihatan dan pemakanan yang seimbang walaupun dia disahkah mengidap kencing manis yang serius.

Apa saja hidangan yang ada di depan mata, dijamahnya. Akibatnya kedua-dua kornea mata Normala berdarah sehingga menyebabkan dia buta. Berdasarkan pemeriksaan doktor pada 17 April lalu, mata kirinya gagal diselamatkan kerana telah rosak teruk.

Sementara mata kanannya pula, kata doktor, diharap dapat diselamatkan apabila menjalani pembedahan. Asalnya juga, Normala menjalani pembedahan pada 29 Julai lalu. Berdasarkan prosedur pembedahan, hanya tuan punya badan saja yang boleh memberi kebenaran dan menandatangani borang pembedahan itu.


Bagaimanapun, disebabkan tiada jaminan daripada doktor terhadap harapan untuk kedua-dua matanya kembali pulih menyebabkan Normala memilih untuk menangguhkan pembedahan dan berusaha cara lain.

“Walaupun kawan yang mengesyorkan jus buah-buahan itu tidak memberi seratus peratus jaminan namun Kak Ala tidak pernah putus asa.

“Setiap pagi dan malam Kak Ala amalkan. Alhamdulillah pada pertengahan September lalu mata kanan Kak Ala yang kabur semakin jelas penglihatannya.

“Bukan itu sahaja, malah mata kiri Kak Ala yang berdarah dan buta, akhirnya mula dapat melihat cahaya yang kabur.

“Apabila pergi untuk pemeriksaan pada awal Oktober lalu, doktor sendiri terkejut dengan perkembangan terbaru dan memberitahu mata Kak Ala tidak perlu dibedah.

“Bagaimanapun pada 9 Disember ini Kak Ala akan berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan mata dan mudah-mudahan mata akan semakin jelas penglihatannya,” kata Normala sambil memandang mesra suaminya, Zulkifli yang sibuk membantu anak bungsu mereka, Muhammad Noor Zabiq berniaga lempeng pisang dan bubur lambuk di tapak perniagaan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Menurut Normala, sejak penglihatannya semakin pulih, dia kini cuba membantu rakan-rakan artis yang sakit dengan mengesyorkan meminum jus buah-buahan berasaskan buah beri.

“Setiap kali berjumpa mereka saya membawa artikel yang tersiar di Mega sebagai menjelaskan keadaan saya dulu dan sekarang.

“Memang tiada jaminan semua penyakit akan sembuh dengan meminum jus ini, namun kak Ala memberi semangat kepada mereka untuk berusaha seperti mana kak Ala.

“Allah tidak akan mengubah nasib seseorang jika kita tidak berusaha sendiri. Alhamdulillah beberapa rakan artis yang sakit mahu mencubanya,” cerita Normala lagi.

Sejak penglihatannya semakin pulih, Normala juga kini semakin menjaga pemakanannya agar pisang tidak berbuah dua kali.

“Cukuplah pengalaman buta hampir lima bulan. Kini Kak Ala mengamalkan pemakanan yang sihat demi memastikan kencing manis dan darah tinggi Kak Ala tidak membahayakan kesihatan dan penglihatan,” kata Normala.

Selepas penglihatannya semakin elok, Normala juga mendapat tawaran berlakon dan dijangka akan ke lokasi penggambaran bulan depan.

“Walaupun tak banyak babak, tapi Kak Ala amat bersyukur dan menganggap tawaran ini sebagai pembuka jalan untuk Kak Ala teruskan karier dalam bidang lakonan,” kata Normala sambil memeluk anaknya Nozazleen dan Muhammad Noor Zabiq.